Friday, June 5, 2009

UNDANG-UNDANG DAN ADAT ISTIADAT SUKU KAUM TOBILUNG: Bahagian VI Perangai Buruk Melampau, Kelucahan dan Khianat

Serangan Lucah

33. Sesiapa jua pun, tanpa sebab-sebab yang munasabah menyentuh mana-mana bahagian tubuh mana-mana orang dengan apa jua cara atau alat dengan maksud hendak mencabul kehormatan orang itu adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a ) Membayar adat malu 1 buah tinukul
(b) Kalau pegang buah dada si gadis denda 1 buah tinukul
(c) Kalau pegang susu wanita tua 1 buah gong

Pendedahan Lucah

34. Sesiapa jua pun yang dengan sengaja, secara terbuka dan lucah mendedahkan kemaluan atau mana-mana bahagiannya kepada mana-mana orang dengan maksud mencabul kehormatan orang itu adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a ) Membayar adat malu 1 buah tinukul

Perkataan Bunyi Atau Isyarat Lucah

35. Sesiapa jua pun yang menyebut apa-apa perkataan atau membuat apa-apa bunyi dalam pendengaran mana-mana orang atau membuat apa-apa isyarat dalam penglihatan mana-mana orang dengan sengaja berniat hendak menghina atau melukakan perasaan orang itu adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a ) Membayar adat malu 1 buah tinukul


Perkataan Atau Isyarat Memfitnah

36. Sesiapa jua pun yang menyebut apa-apa perkataan dalam pendengaran mana-mana orang dengan maksud hendak memfitnah, merendahkan, mengaibkan atau menyebabkan kekejian kepada orang itu adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat popiasa 1 buah gong

Menyebar Khabar Angin

37. Sesiapa jua pun yang membuat perkataan atau tuduhan palsu terhadap mana-mana orang dengan maksud hendak memfitnah orang itu adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b ) Membayar adat malu 1 buah tinukul

Perpecahan Di Upacara

38. Sesiapa jua pun yang melakukan apa-apa perbuatan atau kelakuan dengan cara yang memecah atau menyebabkan perpecahan mana-mana upacara perkahwinan atau pertunangan, keramaian, kenduri atau apa-apa perayaan seumpama adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat ruol ginawo 1 buah gong dan
(b) Membayar adat sogit 1 ekor ayam besar dan adat pulanut 1 bontuk

Perpecahan Di Upacara Pengebumian Atau Sembahyang Mayat

39. Sesiapa jua pun yang melakukan apa-apa perbuatan atau kelakuan dengan cara memecah atau menyebabkan perpecahan mana-mana upacara pengkebumian atau sembahyang mayat atau apa-apa upacara seumpama adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat ruol ginawo 1 buah gong dan
(b ) Membayar adat sogit 1 ekor ayam besar dan adat pulanut 1 bontuk

Pencemaran Sumber Air

40.
(1) Sesiapa jua pun yang dengan sengaja atau pengetahuannya, mengadukan, mencemarkan atau mengotorkan mana-mana mata air kegunaan bersama, kolam air perkampungan atau sungai hingga menjadikannya kurang layak bagi maksud yang biasanya digunakan,adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar sogit 1 ekor babi besar dan pulanut 1 buah tinukul dan
(b) Membayar adat koyomutan 1 botol minyak kelapa dan 1 gengam kapas

(2) Apa-apa pembayaran sogit di bawah kaedah ini hendaklah diberikan kepada Ketua Kampung yang akan mengagihkkan penalti itu dengan kadar yang sama kepada tiap-tiap keluarga yang biasanya bermastautin di kampung itu.

Pencerobohan

41. Sesiapa jua pun yang tampa sebab-sebab munasabah, memasuki mana-mana rumah atau mana-mana bahagiannya kepunyaan atau dalam penghunian sah orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobulung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam besar dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b ) Membayar adat denda 1 buah tinukul.

Memasuki Bilik Tidur

42. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah atau izin daripada pemilik atau penghuni mana-mana bilik tidur, memasuki bilik tidur itu yang biasanya dihuni oleh orang ahli keluarga perempuan adalah melakukan perlanggaran undang- undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a ) Kalau bilik itu dihuni oleh perempuan bujang kena denda adat kemaluan 1
ekor kerbau sumandak.
(b ) Kalau bilik itu dihuni oleh suami isteri kena denda adat malu 1 ekor kerbau
indung.
(c ) Kaedah ini tidak terpakai terhadap ahli keluarga terdekat kepada perempuan
dimasuki bilik tidurnya.

Kerosakan Kepada Harta Alih

43. Sesiapa jua pun yang tampa sebab munasabah, melakukan apa-apa perbuatan yang merosakkan atau menyebabkan kerosakan kepada mana-mana harta alih kepunyaan orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:-

(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar ganti rugi

Kecederaan Kepada Ternakan Atau Unggas

44. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah mencederakan, mencacatkan atau membunuh mana-mana ternakan atau unggas kepunyaan orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bentuk dan
(b) Kalau ternakan atau unggas itu mati, mesti diganti dangan ternakan yang sama besar dan begitu juga unggas
(c) Membayar adat wayud, kalau ternakan 1 ekor ternakan begitu juga unggas 1 ekor unggas.


Melempar Benda Ke Rumah

45. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah melempar atau melontar apa-apa benda ke rumah kepunyaan atau dalam penghunian sah orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit tiguras 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b )Membayar denda adat 1 buah tinukul.


Menyumpah Dan Mengutuk

46. Sesiapa jua pun yang menyumpah atau menyebut suatu kutukan terhadap orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit keentulusan 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar adat denda 1 buah tinukul kepada yang terkilan.

Pagar

47. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah,memindah, mengubah, mencacat atau memotong mana-mana pagar atau mana-mana bahagiannya di atas mana-mana tanah kepunyaan atau dalam penghunian sah orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit raat ginawo 1 ekor ayam besar dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membaiki kerosakan pagar atau
(c) Membayar ganti rugi kos sebenar membaiki pagar atau
(d )Membayar adat denda 1 buah tinukul.


Tanggungan Terhadap Kerosakan Oleh Binatang

48. Mana-mana pemunya atau yang bertanggungjawab ke atas suatu binatang yang gagal untuk mengurung, menambat atau mengawal atau membiarkan binatang itu tersesat adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung, jika binatang itu menyebabkan kerosakan kepada apa-apa harta atau mana-mana bahagiannya kepunyaan orang lain dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit ruol ginawo 1 ekor ayam besar dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membaiki apa-apa kerosakan atau
(c) Membayar gantirugi apa-apa kerosakan atau
(d) Membayar adat denda 1 buah tinukul

Menyebabkan Pencerobohan Kerana Menggangu Binatang

49. Sesiapa jua pun yang menggangu binatang kepunyaan orang lain atau menggangu apa-apa pagar, kurungan atau bangunan di dalam mana binatang itu dikurung yang menyebabkan atau membolehkan binatang itu menceroboh adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit raat ginawo 1 ekor ayam besar dan adat pulanut
(b) Membayar gantirugi kerosakan atau
(c) Membaiki kerosakan atau
(d ) Membayar adat denda 1 buah tinukul

Menebang Pokok

50. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah memotong, menebang, memindah atau memungut mana-mana pokok atau mana-mana bahagiannya di atas mana-mana tanah kepunyaan atau dalam penghunian sah orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit raat ginawo 1 ekor ayam dan pulanut 1 bontuk dan
(b) Apa-apa alat penebang pokok mesti diberi kepada yang terkilan atau
(c ) Membayar denda 1 buah tinukul

Gangguan Kepada Empangan Atau Tembok

51.
(1) Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah atau kuasa yang lain, memindah, mengubah, mencacat atau memotong mana-mana empangan atau tembok yang dibina dan dipakai bersama penduduk-penduduk mana-mana kampung hingga menjadikan empangan atau tembok itu kurang layak bagi maksud yang biasanya digunakan adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit ruol ginawo 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah

Tinukul kepada Ketua Kampung

(2) Apa-apa pembayaran sogit di bawah kaedah ini hendaklah diberikan kepada Ketua Kampung yang akan mengagihkan penalti itu dengan kadar yang sama kepada ketua tiap-tiap keluarga yang biasanya bermastautin di kampung itu.

(3) Kaedah ini tidak terpakai kepada seseorang yang terikat untuk menyempurnakan waran atau dibuat pada menjalankan bidang kuasa yang diberikan di bawah enakmen ini atau mana-mana undang-undang yang bertulis lain.

Gangguan Kepada Petanda Harta

52. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah memindah, mengubah, mencacat atau memotong mana-mana tonduk, pagon atau alat-alat mengikut adapt yang lain di atas mana-mana harta atau mana-mana bahagiannya adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit ruol ginawo 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk.

Mungkir Janji

53. Sesiapa jua pun yang tanpa sebab-sebab munasabah enggan menunaikan suatu janji adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan bolah dikenakan:

(a) Membayar adat koimanan 20 % ( dua puluh peratus ) daripada ianya suatu perjanjian.
(b) Membayar adat babas 1 ekor ayam.


Sumber: tobilung.blogspot.com

No comments: