Wednesday, May 27, 2009

UNDANG-UNDANG DAN ADAT ISTIADAT SUKU KAUM TOBILUNG: Bahagian IV Perkahwinan, Pertunangan dan Pikatan

Perkahwinan Di Antara Anak Saudara

12.
(1) Mana-mana lelaki mengahwini seorang perempuan yang saudaranya melalui pertalian persaudaraan sedarah sedaging adalah melakukan pelanggaraan undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung.

(a) Membayar adat pitas 1 ekor ternakan dan adat pulanut 1 buah keris kiulu sawan, keris ini diberikan kepada orang lain yang tiada hubungan kekeluargaan yang berkahwin dan
(b) Membayar sogit kepanasan kampung kepada 7 kampung yang berdekatan, 1 ekor babi besar dan adat pulanut 1 buah tinukul dan
(c) Membayar adat pisukud kepada pengadil, 1 buah tinukul dan 1 ekor ayam dan
(d ) Membayar adat ‘Panggor Nginan’ dibayar kepada datuk, nenek perempuan 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul.
(e ) Membayar adat kababaan tetuo 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul dan
(f ) Membayar adat kababaan tomulok 1 ekor babi dan pulanut 1 bilah parang dan
(g ) Membayar adat sogit perkahwinan 1 ekor babi besar dipotong di rumah pengantin perempuan

(2) Dalam kaedah ini, seseorang itu hendaklah disifatkan sebagai saudara melalui pertalian persaudaraan sedarah sedaging jika seseorang itu termasuk dalam perhubungan kekariban yang ditetapkan dan disenaraikan di dalam jadual II

Penamatan Pertunangan

13.
(1) Sesiapa jua pun yang bertunang, menamatkan pertunangan itu tanpa sebab-sebab yang munasabah adalah melakukan pelanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

Pihak lelaki

(a) Membayar adat lapik 1 ekor kerbau indung dan
(b) Semua kos perbelanjaan dan pemberian pertunangan tidak dikembalikan.

Pihak perempuan

(a) Membayar adat lapik 1 ekor kerbau sumandak dan
(b) Semua kos perbelanjaan dan pemberian pertunangan dikembalikan kepada lelaki.

(2) Adat lapik pertunangan ini mestilah dibuat sempena majlis pertunangan, adat lapik ini adalah sebagai pengikat pertunangan dan mestilah dibuat sebagai satu perjanjian diantara si lelaki dan si perempuan yang bertunang.

(3) Jika berlaku penamatan pertunangan:

(a) Jika pihak lelaki, maka pihak perempuan berhak mendapat adat lapik 1 ekor kerbau indung dan semua kos perbelanjaan pertunangan tidak dikembalikan.
(b) Jika pihak perempuan, maka pihak lelaki berhak mendapat adat lapik 1 ekor kerbau sumandak dan semua kos pertunangan mestilah dikembalikan kepada pihak lelaki.

Paksaan Untuk Berkahwin

14. Dalam kaedah ini, tiada seorang boleh dipaksa berkahwin sekiranya;-

(a) Pihak yang terkilan itu telah dibayar adat babas dan denda malu atau
(b) Kedua-dua pihak pertunangan itu saling bersetuju kepada penamatan pertunangan itu atau
(c) Pada pendapat pengadil-pengadil pertunangan itu telah terputus sehingga tidak dapat dipulihkan

Persetubuhan Haram Oleh Seorang Yang Bertunang

15.
(1) Sesiapa jua pun yang bertunang, melakukan persetubuhan haram dengan mana-mana orang yang adalah bukan orang dia bertunang untuk berkahwin adalah melakukan pelanggaran adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:-

(a) Lelaki – membayar adat lapau tunang atau lapau sinsing 1 ekor kerbau indung kepada tunang perempuannya dan
(b) Membayar adat malu kepada ibubapa tunangnya 1 buah tinukul dan
(c) Membayar adat sogit kampung 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang dan
(d) Perempuan – iaitu pasangan lelaki membuat pelanggaran membayar adat lapau sinsing 1 ekor kerbau sumandak dibayar kepada tunang lelaki tersebut dan
(e) Membayar adat sogit kampung 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang
(f) Membayar adat pisukud Ketua Kampung 1 buah tinukul dan 1 ekor ayam

(3) Jika apa-apa perlanggaran di bawah ini mengakibatkan penamatan mana-mana pertunangan, orang yang melakukan perlanggaran boleh dikenakan:

Jika Lelaki

(a) Membayar adat lapik tunang 1 ekor kerbau indung dan
(b) Membayar adat malu 1 buah tinukul dan
(c) Semua kos perbelanjaan dan pemberian pertunangan tidak dikembalikan dan
(d) Membayar adat lapau tunang atau lapau sinsing 1 ekor kerbau indung

Jika Perempuan

(a) Membayar adat lapik tunang 1 ekor kerbau sumandak
(b) Membayar adat malu 1 buah tinukul dan
(c) Semua kos perbelanjaan dan pemberian pertunangan mesti dikembalikan kepada tunang lelakinya dan
(d) Membayar adat lapau tunang atau lapau sinsing 1 ekor kerbau sumandak

Persetubuhan Haram Dengan Tunang Orang Lain

16.
(1) Seseiapa jua pun yang melakukan persetubuhan haram dengan tunang orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat istiadat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

Lelaki:

(a) Membayar adat lapau tunang atau lapau sinsing 1 ekor kerbau indung dibayar kepada tunang perempuannya dan
(b) Membayar adat malu kepada ibubapa lelaki 1 buah tinukul dan
(c) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang dan
(d) Perempuan – iaitu tunang lelaki membayar adat lapau tunang 1 ekor kerbau sumandak
(e) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang

(2) Jika apa-apa perlanggaran di bawah kaedah ini mengakibatkan dengan
penamatan pertunangan, orang yang melakukan perlanggaran boleh
dikenakan:

Lelaki:

(a) Membayar adat lapik pertunangan 1 ekor kerbau indung
(b) Membayar gantirugi kos perbelanjaan dan pemberian pertunangan dan
(c) Membayar adat malu 1 buah tinukul dan
(d) Membayar adat lapau sinsing 1 ekor kerbau indung dan
(e) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul dan

Perempuan:

(a) Membayar adat lapau tunang atau lapau sinsing 1 ekor kerbau sumandak kepada tunangnya dan
(b) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan pulanut 1 bilah parang
(c) Membayar adat lapik 1 ekor kerbau sumandak

Memikat Tunang Orang Lain

17.
(1) Sesiapa juapun yang memikat atau membawa pergi tunang orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat lapau tunang atau lapau sinsing 1 ekor kerbau indung
(b ) Membayar adat malu kepada tunang perempuan 1 buah tinukul
(c ) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul

(2) Dalam kaedah ini, jika orang yang melakukan perlanggaran itu adalah seorang perempuan, dia dikenakan membayar:

(a) Membayar adat lapau sinsing 1 ekor kerbau sumandak
(b) Membayar adat malu 1 buah tinukul kepada tunang lelaki dan
(c) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan pulanut 1 bilah parang

Memikat Isteri Atau Suami Orang Lain

18.
(1) Sesiapa jua pun yang memikat atau menbawa isteri orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat lapau 1 ekor kerbau indung kepada si suami dan
(b) Membayar adat malu 1 buah gong kepada si suami dan
(c ) Membayar sogit kampung 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul

(2) Perempuan si isteri dikenakan:

(a) Membayar adat lapau 1 ekor kerbau sumandak kepada suaminya
(b) Membayar adat malu 1 buah tinukul kepada suaminya
(c) Membayar sogit kampong 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang dan
(d) Membayar sogit anak-anak 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk tiap seorang jika ada.

Mengahwini Isteri Atau Suami Orang Lain

19.
(1) Mana-mana lelaki yang mengahwini seorang perempuan yang adalah seorang
isteri orang lain adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum
Dusun Tobilung - Solod

(2) Mana-mana perempuan yang mengahwini seorang lelaki yang adalah suami orang lain adalah melakukan perlanggaran adat suku Dusun Tobilung - Monolod

(3) Jika lelaki mengahwini isteri orang lain:-

(a) Membayar adat solod 1 ekor kerbau indung kepada si suami perempuan
(b) Membayar adat lapau 1 ekor kerbau indung kepada si suami perempuan
(c) Membayar adat malu 1 buah gong kepada si suami perempuan
(d ) Membayar adat sogit kampong 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul.

(4) Perempuan si isteri orang dikenakan:

(a) Membayar adat lapik perkahwinan 1 ekor kerbau sumandak kepada suaminya
(b) Membayar adat lapau 1 ekor kerbau sumandak kepada suaminya
(c) Membayar adat malu 1 buah tinukul kepada suaminya
(d ) Membayar adat kampong 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul
(e ) Membayar sogit anak-anak 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk tiap seorang jika ada.

(5) Jika perempuan yang mengahwini suami orang lain boleh dikenakan:-

(a) Membayar adat lapau 1 ekor kerbau sumandak dan
(b) Membayar adat solod 1 ekor kerbau sumandak dan
(c) Membayar adat malu 1 buah tinukul dan
(d) Membayar sogit kampong 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang

(6) Lelaki si suami orang:-

(a) Membayar adat lapau 1 ekor kerbau indung dan
(b) Membayar adat lapik perkahwinan 1 ekor kerbau indung dan
(c) Membayar adat malu 1 buah tinukul kepada isterinya dan
(d) Membayar sogit kampong 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang dan
(e) Membayar sogit anak-anak 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk tiap seorang jika ada.

Perkahwinan Bigami Atau Poligami

20. Mana-mana lelaki yang telah berkahwin, berkahwin lagi dalam masa isterinya masih hidup adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:-

(a) Perkahwinan poligami mengikut adat.

1. Membayar “adat kosondian” kepada isteri sedia ada 1 buah gong dan
2. Membayar adat sogit anak-anak 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk tiap seorang
3. Menjelaskan semua tanggungan berian kepada isteri sedia ada, jika berian tersebut belum habis dijelaskan

(b) Perkahwinan poligami yang tidak mengikut adat:-

1. Membayar sogit kampong 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul dan
2. Membayar adat lapau 1 ekor kerbau indung kepada isterinya yang sedia ada dan
3. Membayar adat kosondian kepada isterinya yang sedia ada 1 buah gong dan
4. Semua tanggungan berian yang belum dijelaskan mesti dijelaskan dan
5. Membayar sogit anak-anak 1 ekor ayam dan pulanut 1 bontuk tiap seorang

Memikat Anak Dara Orang Lain

21. Sesiapa jua pun yang memikat atau membawa pergi anak dara orang lain daripada orang tuanya atau penjaganya adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a ) Membayar sogit kampong 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul
(a) Membayar adat malu ibubapa perempuan 1 buah gong
(b) Membayar adat kapampangan sinuruton 1 ekor ayam dara dan pulanut 1 bontuk dan
(c) Kalau tidak mahu berkahwin boleh dikenakan denda 1 buah gong. ( Dalam kaedah ini si lelaki diarah untuk mengahwini anak dara tersebut, jika enggan boleh didenda 1 buah gong ).

Perkahwinan Sebelum Tamat Tempoh Berkabung

22. Sesiapa jua pun yang berkahwin sebelum tamat tempoh berkabung atau momuod bagi kematian seorang suami atau isteri adalah melakukan perlanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung dan boleh dikenakan:

(a) Membayar adat sogit namatai 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat lapau namatai 1 ekor kerbau indung bagi suami dan kerbau sumandak bagi isteri.

Berkahwin Sebelum Kakak

23. Sesiapa jua pun yang berkahwin sebelum kakak adalah melakukan pelanggaran undang-undang adat suku kaum Dusun Tobilung adat kotoliban dan boleh dikenakan membayar kepada kakak adat kotoliban 1 buah salapa atau barang-barang lain yang senilai dengannya mengikut adat.


Sumber: tobilung.blogspot.com

No comments: