GENAP 10 tahun, Malaysia sekali lagi terpaksa menempuh krisis ekonomi dunia. Krisis terakhir sekitar 1997-1999 yang dirancang oleh penyangak mata wang, George Soros. Tindakannya telah mengakibatkan nilai ringgit menyusut kepada RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (secara purata 1996: AS$1 > RM2.50). Malaysia yang ketika itu di bawah era Tun Dr. Mahathir Mohamad, terpaksa melaksanakan dasar kawalan modal (capital control) yang amat ketat.
Namun kini, di tengah-tengah kemelut ekonomi paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan liberalisasi ekonomi - suatu pendekatan berlawanan dengan strategi Tun Dr. Mahathir bagi mempertahankan ekonomi Malaysia.
Selayang pandang terhadap liberalisasi ekonomi, ia seolah-olah merugikan orang Melayu kerana syarat kuota 30 peratus pegangan saham bumiputera dalam 27 sektor ekonomi kini dihapuskan.
Sebenarnya, Malaysia sudah berada dalam situasi 'keterpaksaan' dan sedikit 'terkebelakang' dalam mengotakan janji dengan negara-negara serantau untuk menarik pelaburan asing langsung (FDI) ke ASEAN melalui liberalisasi ekonomi.
Data-data ekonomi terperinci juga menunjukkan bahawa Singapura dan Thailand yang melaksanakan liberalisasi ekonomi jauh lebih awal dari Malaysia berjaya mempamerkan tahap pemulihan ekonomi yang tinggi. Tetapi, di manakah Melayu pascaliberalisasi ekonomi ini?
Selain daripada kekuatan Melayu melalui institusi pelaburan gergasi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji, sebenarnya Melayu hari ini bertaburan dalam pelbagai sektor ekonomi sehingga susah untuk melihat dominasi dalam sesebuah industri secara spesifik.
Kalau dahulu di bawah era Tun Dr. Mahathir-Tun Daim Zainuddin melalui struktur ekonomi 'payung', kita dapat melihat antara lain enam ikon usahawan Melayu terkenal iaitu Tan Sri Wan Azmi (L&G), Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Group), Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS), Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-Hicom), Tan Sri Rashid Hussain (RHB Group) dan Tan Sri Halim Saad (Renong) yang bukan hanya jaguh dalam industri masing-masing di Malaysia tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Malangnya hari ini, hanya beberapa ikon usahawan Melayu yang dilahirkan. Komuniti kecil ini tidak semantap ikon terdahulu kerana kekuatan mereka lebih tertumpu di dalam negara dan banyak bergantung harap kepada kerajaan.
Apa yang ingin saya hurai mengenai senario di atas ialah Melayu tidak semestinya perlu mendominasi sesebuah industri secara spesifik. Dominasi ekonomi Melayu secara spesifik juga menjadikan kelompok usahawan Melayu seperti sitting-duck (sekawan itik) yang mudah dicantas oleh pesaing-pesaing bukan Melayu mahupun sebangsa dengannya.
Kita hari ini juga perlu sedar bahawa sebilangan besar Melayu bukanlah daripada keluarga yang dapat menyediakan modal untuk berniaga seperti kaum-kaum lain. Saya lahir dalam keluarga yang pernah hidup di bawah garis kemiskinan, berasa amat bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi seorang profesional yang berjaya dengan hanya bermodalkan tulang empat kerat dan akal yang diisi dengan ilmu pengetahuan tajaan kerajaan Malaysia.
Atas alasan supaya Melayu tidak tertumpu hanya pada sektor ekonomi tertentu dan supaya tidak terus alpa dengan kedudukan keluarga yang tidak bermodal untuk berniaga, usaha bagi melambakkan tenaga profesional dan vokasional perlu ditingkatkan.
Tiga Profesional Setiap Keluarga
Jika Tun Dr. Mahathir pernah melaungkan saranan "Ke arah 70 juta penduduk" bagi menampung strategi pembangunan negara, saya pula ingin menyarankan agar kerajaan pimpinan Najib-Muhyiddin menumpukan perhatian untuk melahirkan tiga profesional bagi setiap keluarga Melayu.
Ini kerana hari ini, secara purata, seseorang profesional mampu mengumpul aset sejumlah RM1 juta apabila mencecah umur 40 tahun. Mengikut penganalisisan kami, jika enam ikon Melayu yang dilahirkan sewaktu era Tun Dr. Mahathir-Tun Daim mempunyai aset berjumlah RM1 bilion setiap seorang, jumlah aset terkumpul adalah RM6 bilion.
Jumlah aset sebanyak RM6 bilion ini sebenarnya memerlukan hanya 6,000 orang profesional dari puluhan ribuan siswazah yang keluar dari lebih 100 IPTA dan IPTS setiap tahun. Yang pasti, di kalangan 6,000 profesional tersebut akan lahir beberapa individu yang menyerlah sebagai ikon usahawan Melayu terkenal.
Dengan wujudnya senario tersebut, lambakan profesional Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi secara tidak langsung mengurangkan risiko dicantas; merapatkan jumlah golongan kaya dan miskin; dan meneruskan budaya ekonomi 'payung' yang membimbing ribuan generasi pelapis ekonomi Melayu akan datang.
Kesimpulannya, Melayu pascaliberalisasi ekonomi perlu merebut pendedahan pengalaman dalam 27 sektor ekonomi yang dipegang oleh pelabur asing.
Pendedahan yang baik sebenarnya boleh diolah menjadi senjata untuk bersaing dalam penyelidikan, penghasilan produk, pembinaan dan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti menjangkaui piawaian antarabangsa.
Akhirnya, Melayu bukan hanya mendominasi pelbagai sektor ekonomi tetapi menjadi jaguh di peringkat dunia dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan.
*SUMBER - RENCANA UTUSAN MALAYSIA 12 MAY 2009-
No comments:
Post a Comment