Tuesday, May 12, 2009

Harga koko mampu kekal tinggi

HARGA koko di pasaran dunia yang dianggap tinggi sekitar AS$2,500 (RM8,750) satu tan ketika ini dapat dikekalkan atau ditingkatkan lagi jika pengusaha industri itu berusaha mempelbagaikan kegunaannya, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata, kepelbagaian dalam penggunaan komoditi itu dapat meningkatkan permintaannya pada peringkat antarabangsa, sekali gus membantu mengekalkan atau meningkatkan lagi harganya walaupun ketika kegawatan ekonomi global.

Bagi tujuan itu, katanya pengeluar produk koko perlulah lebih peka dengan kehendak pengguna.

“Dalam dunia serba moden ini, satu daripada cara yang dapat memenuhi kehendak pengguna adalah dengan menggunakan sepenuhnya kemudahan sains dan teknologi khasnya melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Koko Antarabangsa Malaysia di ibu negara, semalam.

Seramai 250 peserta dari 15 negara menyertai persidangan selama dua hari bermula semalam bagi berkongsi pengalaman dan pendapat bagaimana meningkat serta memajukan lagi industri koko peringkat domestik dan antarabangsa.

Ketika ini, keluasan tanaman koko negara adalah sekitar 20,000 hektar dan saiznya semakin mengecil kerana menghadapi persaingan pembesaran kawasan tanaman komoditi lain seperti sawit.

Beliau berkata, penanam koko kecil-kecilan digalak untuk bergabung sebagai satu kaedah meningkatkan lagi pengeluaran koko negara.

“Kita merancang menjalin kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi mewujudkan kawasan tanaman koko yang lebih luas,” katanya.

*SUMBER - BERITA HARIAN 12 MAY 2009 -

No comments: